Saturday, September 6, 2008

Mengenai Whipping Cream?





Terdapat 2 jenis krim putar iaitu Dairy Whipping Cream dan Non-Dairy Whipping Cream For Topping.

Dairy Whipping Cream adalah merupakan hasil tenusu dan mengandungi 35 % lemak susu. Ia sesuai digunakan dalam masakan-masakan Barat, membuat kek seperti tiramisu atau hiasan mudah untuk aiskrim atau pencuci mulut ala Barat. Ia hendaklah dipukul dengan kelajuan sederhana hingga ia menjadi kental dan bolehlah dimasukkan dalam masakan-masakan tersebut. Tetapi krim ini tidak sesuai untuk hiasan kek seperti Black Forest dan lain-lain kerana warnanya kekuningan dan kurang stabil. Ini bermakna ia tidak boleh mengekalkan bentuknya dalam masa yang lama. Kesimpulannya, Dairy Whipping Cream yang juga dikenali sebagai Thick Cream atau Double Cream tidak sesuai untuk dibuat hiasan kek kerana faktor-faktor yang saya telah jelaskan diatas.Krim ini terdapat dalam pelbagai jenama dan boleh didapati di pasaraya-pasaraya besar.


Manakala Non-Dairy Whipping Cream For Topping adalah krim yang dibuat khas untuk hiasan kek. Ia dirumus daripada minyak sayuran dan minyak kelapa sawit dan tidak mengandungi bahan tenusu. Ini menjadikan ia lebih stabil, maknanya corak-corak yang dipaip menggunakan krim ini tahan seminggu tanpa kehilangan bentuknya. Ia juga mudah kembang jika dipukul dan menghasilkan kuantiti yang banyak. 1 liter krim ini boleh menyalut dan menghias 3 biji kek bersaiz 8 inci.


Keistimewaan krim ini ialah ia lebih baik dari segi kesihatan berbanding krim mentega kerana tidak mengandungi lemak berlebihan. Warnanya putih bersih dan boleh dicampurkan pewarna lain. Rasanya juga enak kerana tidak memuakkan. Tetapi krim ini tidak tahan panas. Ia hendaklah disimpan dalam peti sejuk dan hanya dikeluarkan jika hendak dihidangkan. Ia tahan seminggu jika disimpan dalam peti sejuk. Terdapat pelbagai jenama krim ini seperti Presto, Vivo, Richs, Trans, Anchor dan lain-lain. Krim ini hendaklah diputar dalam keadaan sejuk (krimnya) dan putar kelajuan sederhana hingga menjadi kembang dan kental. Jangan terlebih putar kerana krim akan menjadi kasar dan susah disapukan pada kek. Oleh kerana krim ini sudahpun manis, anda tidak perlu mencampurkan gula.Krim jenis ini hanya dijual di kedai-kedai bahan kek .