Showing posts with label Tips. Show all posts
Showing posts with label Tips. Show all posts

Sunday, October 25, 2009

Gunakan tepung yang sesuai!

Tepung Gandum
Sesuai untuk dibuat cucur, jemput2, batter untuk menggoreng ikan dan ayam. Kadar gluten tepung agak sederhana jadi ia sesuai untuk makanan gorengan.

Tepung Kek
Khas untuk membuat kek saperti Kek Mentega, Kek Buah, Kek Teh, Muffin dan kulit pastri puff. Kadar gluten dalam tepung kek ini rendah jadi ia amat sesuai untuk kek yang memerlukan struktur yang agak stabil.

Tepung Top
Khas untuk membuat Kek Span, Kek Angel atau Kek Shiffon dan Kuih Baulu. Kadar gluten tepung ini amat rendah sekali jadi struktur protein nya amat singkat menjadikan ia sesuai untuk membuat kek yang lembut dan gebu.

Tepung Hong Kong atau Super Lite Flour
Sesuai untuk membuat kueh pau kukus atau goreng donut. chakue dan roti paun.

Tepung Naik Sendiri atau Self-Raising Flour
Jenis tepung ini sudah dicampur bahan penaik iaitu baking soda untuk memudahkan kita membuat kek, pancake atau batter.

Tepung Roti
Sesuai untuk membuat roti sahaja kerana kadar gluten dalam tepung ini amat tinggi.

Tepung Wholemeal
Tepung in adalah tepung yang diproses tanpa kulit gandum dibuang. Ia berkhasiat dan lazimnya digunakan untuk membuat roti.

Tepung Kentang
Tepung ini dibuat daripada ubi kentang yang telah diproses. Jangan samakan tepung ini dengan tepung kanji. Tepung ini sangat sesuai dibuat roti apabila dicampurkan dengan tepung gandum. Ada juga sesetengah kek yang menggunakan tepung ini terutama untuk orang yang mempunyai alahan kepada tepung gandum.


Tepung Kacang Kuda atau Tepung Gram (Chickpea)
Penggunaan tepung ini begitu popular dalam masakan India. Ini termasuklah dalam membuat Pakora dan manisan. Di Itali tepung ini digunakan untuk membuat sejenis roti yang disebut Farinata.

Tepung Jagung
Digunakan lazimnya sebagai bahan pemekat dan untuk membuat biskut terutama untuk mendapatkan biskut yang rangup. Apabila dicampur dengan gula ia menjadi gula aising. Di Latin Amerika, tepung ini digunakan untuk membuat kulit pita yang dipanggil Tortilla.

Tepung Beras
Selain daripada kegunaannya untuk membuat kuih muih melayu, ia juga banyak digunakan untuk membuat biskut.

Setelah mengetahui jenis2 tepung dan kegunaannya, maka ini tentu akan memudahkan lagi anda memilih jenis2 tepung yang sesuai untuk apa jua masakan, untuk membuat kek atau biskut dan seumpamanya.

SELAMAT MENCUBA!

Thursday, December 18, 2008

Usah serik bila kek yang dibuat tak menjadi

Telor

Bahan yang penting kerana ia adalah struktur produk yang bakal anda buat. Berat telur memainkan peranan. Untuk mendapatkan anggaran yang tepat, pecahkan telur dan timbang. Dengan cara ini anggaran yang diperlukan boleh diperolehi dengan tepat.

Tepung

Pastikan tepung diayak supaya ringan dan bahagian yang bergentel dapat dikeluarkan kerana ia adalah salah satu penyebab kek menjadi berat. Tetapi jika anda menggunakan tepung "premix" (tepung yang telah dicampur bahan bahan lain), ia tidak perlu diayak.

Lemak

Lemak ditakrifkan sebagai mentega, majerin, crisco (lemak sayur) atau suet (lemak dari lembu). Hanya guna apa yanag dicadangkan. Kadangkala kita menukar lemak mengikut suka hati, umpamanya menggunakan majerin walaupun apa yang tertera dalam bahan ialah mentega.

Ini harus dielakkan. Menggunakan mentega menghasilkan produk yang lebih baik tetapi teksturnya mungkin kering sedikit manakala menggunakan majerin pula akan menghasilkan produk yang lembap tetapi rasa yang tidak begitu memuaskan. Crisco dan suet adalah lemak yang lazimnya digunakan untuk membuat biskut ataupun puding, jadi elakkan daripada menggunakan lemak ini apabila anda membuat kek.

Cara memukul dan membakar kek

Ini bergantung kepada jenis kek yang dibuat.

Kek span dan kek syifon memerlukan bahannya dipukul dengan laju untuk mendapatkan adunan yang ringan sementara kek buah atau butter cake memerlukan bahannya dipukul dengan perlahan kerana jumlah lemak yang digunakan banyak.

Jika dipukul terlalu laju, telur dan lemak akan "berpisah", Satu cara untuk mengelakkan ini ialah dengan mencampakkan sedkit tepung ketika bahan dipukul.

Masalah yang dihadapi ramai semasa membuat kek buah ialah sama ada kek terlalu kering, kurang lembut atau buah2an yang digunakan tenggelam ke bawah.

Apa yang anda harus buat ialah rendam buah2an yang digunakan dalam jus oren selama tiga hari sebelum digunakan. Toskan buah2an sehari sebelum diperlukan kemudian gaulkan dengan sadikit tepung. Ini dapat menyelesaikan masaalah yang lazim dihadapi berkaitan dengan kek buah.

Putih telur tidak naik

Putih telur setelah dipukul sehingga pekat tetap berair kerana beberapa sebab:

1. Telur yang digunakan tidak lagi segar.

2. Telur dipukul terlalu pantas menyebabkan meringue tidak stabil lalu kering
dan pecah air.

3. Telur yang dipukul terlalu sejuk menyebabkan ia mudah berpeluh selepas dipukul.

Cuba gunakan bahan pengering saperti "cream of tartar" dan sadikit cuka untuk mengelakkanya daripada berair.

Sebab kek mendak

Kek yang mendak ditengah dikenali sebagai M fault. Ini disebabkan oleh beberapa faktor berikut:-

1. Kek tidak dibakar cukup lama.

2. Kek dibakar terlalu dekat dengan api kuat menyebabkan ia kelihatan sudah masak tetapi sebenarnya belum.

3. Salah suhu kek dibakar. Lazimnya jika membakar kek butter, mulakan dengan suhu tinggi (180 darjah Celsius)sehingga bahagian atas kek berwarna kekuningan, kemudian suhunya diturunkan ke 160 atau 150 darjah Celsius dan teruskan bakar sehingga kek masak. Apabila kek dikeluarkan dari ketuhar, terbalikkan cetak kek atas redai supaya tengah kek tidak mendak dan pada masa yang sama minyak kek dapat ikut turun ke permukaan kek.

4. Gunakan telur (50gm ke atas) dan tepung kek. Ini untuk memastikan protein yang cukup untuk menyokong struktur kek tersebut.

Saturday, December 6, 2008

Speed-peel a potato / Quick-peel an egg






For hygienic purpose, don't do this at home unless you cook for yourself and no one else hehehehe.....

Monday, November 10, 2008

Panduan mudah buat kek

Untuk membuat kek atau pastri, anda harus memastikan timbangan yang tepat, cara mengacau adunan yang betul dan masa membakar yang harus diikuti untuk mendapat produk yang baik.

Teori membuat kek:


1. Beli tepung kek ataupun tepung rendah gluten. Menggunakan tepung yang tidak sesuai akan menghasilkan kek yang berat dan "berpasir".

2. Gunakan telur saiz besar yang digredkan sebagai A ataupun AA.

3. Gunakan gula kastor ataupun gula halus dalam semua jenis resipi kek ataupun pastri supaya masa yang diperlukan untuk membancuh adunan boleh dipercepatkan. Ini juga mengelakkan daripada terjadinya gluten semasa membancuh.

4. Mentega yang digunakan haruslah mentega yang mengandungi garam. Ini akan menambahkan keenakan kek. Jika menggunakan majerin, bahan ini pada asasnya sudah mengandungi garam.

5. Untuk membakar kek jenis ringan saperti kek span dan kek chiffon, gunakan suhu 180 hingga 200 darjah Celsius dan masa membakar antara 20 hingga 30 minit. Untuk memastikan kek betul-betul masak sebelum dikeluarkan dari ketuhar, tekan dengan jari di bahagian tengah kek. Jika teksturnya menganjal, ertinya kek itu sudah masak. Keluarkan dari ketuhar dan terbalikkan acuan kek diatas redai kuih tanpa mengeluarkan kek sehingga ia sejuk.

6. Untuk membakar kek jenis berat seperti kek buah dan kek butter, mulakan dengan suhu 180 darjah Celsius kemudian turunkan kepada 150 atau 160 darjah Celsius setelah kek berada dalam ketuhar selama 15 hingga 20 minit. Untuk memastikan kek itu masak, cucuk dengan lidi dibahagian tengah kek dan lidi itu harus kelihatan licin apabila ditarik keluar. Jika masih ada adunan melekat di lidi, biarkan kek dalam ketuhar untuk beberapa minit lagi.

Tips dari Cef Rizal Alkhatib (Berita Minggu)

Saturday, September 6, 2008

Mengenai Whipping Cream?





Terdapat 2 jenis krim putar iaitu Dairy Whipping Cream dan Non-Dairy Whipping Cream For Topping.

Dairy Whipping Cream adalah merupakan hasil tenusu dan mengandungi 35 % lemak susu. Ia sesuai digunakan dalam masakan-masakan Barat, membuat kek seperti tiramisu atau hiasan mudah untuk aiskrim atau pencuci mulut ala Barat. Ia hendaklah dipukul dengan kelajuan sederhana hingga ia menjadi kental dan bolehlah dimasukkan dalam masakan-masakan tersebut. Tetapi krim ini tidak sesuai untuk hiasan kek seperti Black Forest dan lain-lain kerana warnanya kekuningan dan kurang stabil. Ini bermakna ia tidak boleh mengekalkan bentuknya dalam masa yang lama. Kesimpulannya, Dairy Whipping Cream yang juga dikenali sebagai Thick Cream atau Double Cream tidak sesuai untuk dibuat hiasan kek kerana faktor-faktor yang saya telah jelaskan diatas.Krim ini terdapat dalam pelbagai jenama dan boleh didapati di pasaraya-pasaraya besar.


Manakala Non-Dairy Whipping Cream For Topping adalah krim yang dibuat khas untuk hiasan kek. Ia dirumus daripada minyak sayuran dan minyak kelapa sawit dan tidak mengandungi bahan tenusu. Ini menjadikan ia lebih stabil, maknanya corak-corak yang dipaip menggunakan krim ini tahan seminggu tanpa kehilangan bentuknya. Ia juga mudah kembang jika dipukul dan menghasilkan kuantiti yang banyak. 1 liter krim ini boleh menyalut dan menghias 3 biji kek bersaiz 8 inci.


Keistimewaan krim ini ialah ia lebih baik dari segi kesihatan berbanding krim mentega kerana tidak mengandungi lemak berlebihan. Warnanya putih bersih dan boleh dicampurkan pewarna lain. Rasanya juga enak kerana tidak memuakkan. Tetapi krim ini tidak tahan panas. Ia hendaklah disimpan dalam peti sejuk dan hanya dikeluarkan jika hendak dihidangkan. Ia tahan seminggu jika disimpan dalam peti sejuk. Terdapat pelbagai jenama krim ini seperti Presto, Vivo, Richs, Trans, Anchor dan lain-lain. Krim ini hendaklah diputar dalam keadaan sejuk (krimnya) dan putar kelajuan sederhana hingga menjadi kembang dan kental. Jangan terlebih putar kerana krim akan menjadi kasar dan susah disapukan pada kek. Oleh kerana krim ini sudahpun manis, anda tidak perlu mencampurkan gula.Krim jenis ini hanya dijual di kedai-kedai bahan kek .

Baking Tips

Baking Tips
Sumber: Cikgu Noraini

1. Membersihkan Ketuhar
Selepas ketuhar digunakan biarkan ia sejuk. Selepas itu bersihkan ketuhar dari kotoran dan habuk yang melekat.Gunakan air sabun pencuci pinggan dan kain buruk. Lapkan kering-kering.

2. Lembutkan Mentega
Mentega atau krim keju hendaklah dikeluarkan 30 minit sebelum digunakan agar ia lembut dan mudah diputar.

3. Bersihkan Telur
Sebaik-baiknya, telur yang hendak digunakan dibersihkan dari kotoran agar tidak masuk dalam adunan kek. Keluarkan telur dari peti sejuk 1 jam sebelum digunakan.

4. Pilih tin pembakar yang bersesuaian
Gunakan tin pembakar jenis aluminium dan saiznya perlu sesuai dengan resepi. Boleh guna yang bulat, empatsegi dll.

5. Gris tin pembakar
Untuk kek berasaskan mentega, tin perlu digriskan dengan mentega atau majerin dan lapik kertas serap minyak. Gunakan berus pastri untukmenyapunya.

6. Panaskan ketuhar
Sebelum membakar kek atau biskut, panaskan ketuhar kepada 180 darjah celcius selama 15 minit.

7. Tepung yang sesuai
Gunakan tepung yang paling sesuai dengan jenis masakan anda. Jika membuat kek gunakan tepung kek dan jika membuat roti pula gunakan tepung roti.

8. Ayak tepung
Kebanyakan resipi menghendaki kita mengayak tepung sebelum mengadun. Tujuannya untuk memasukkan seberapa banyak udara ke dalam tepung agar kek menjadi ringan dan gebu.

9. Sejukkan kek
Kek hendaklah disejukkan sebelum dipotong. Gunakan pisau tajam atau pisau bergerigi untuk memotong kek agar tidak berderai.

10. Potong kek buah
Sebelum memotong kek buah, sejukkan kek semalaman dalam peti sejuk agar ia keras. Kemudian potong dengan pisau bergerigi. Ini untuk elakkan buah terkeluar.

11. Simpan kek
Untuk menyimpan kek agar tahan lama, balut dengan kertas aluminium, masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk. Kek span dan mentega tahan 1 minggu. Kek lapis tahan satu bulan.

Wednesday, September 3, 2008

Kek Lapis Sarawak




Kek Lapis Sarawak
Sumber: Cikgu Noraini

Kek Lapis Sarawak adalah kek yang popular masa kini. Keunikannya terletak pada coraknya yang berwarna-warni dan rasanya yang berbeza dengan kek tradisonal atau lapis legit Indonesia. Bagi membuat kek lapis sarawak yang bercorak di tengahnya, memerlukan kesabaran yang tinggi kerana ia perlu dibuat dua kali. Mula-mula buat intinya dahulu. Setelah sejuk barulah dipotong dan disusun mengikut corak yang dikehendaki. Kemudian barulah dibuat lapisan atas dan bawahnya.
Untuk mendapat gambaran jelas tentang pembuatan kek ini, sila rujuk buku "Variasi Kek Lapis". Kek lapis ini mempunyai kaedah membuatnya yang berbeza dengan kek lapis tradisonal. Kaedah ini sangat penting difahami kerana kesilapan membuatnya akan menyebabkan kek tidak menjadi. Ia akan berminyak dan padat. Ia menggunakan dua kaedah iaitu mengkerim(creaming) dan membuih (foaming).
Kaedah Membuat Kek Lapis Sarawak
1. Mentega, gula, susu pekat/serikaya dan esen vanila dipukul hingga ringan dan gebu (mengkerim).
2. Dalam bekas berasingan, kuning telur, putih telur, gula dan ovalette dipukul hingga pekat dan gebu selama 10 minit pada kelajuan maksima (mixer Kenwood Chef) - (kaedah membuih).
3. Ayak tepung dan masukkan sedikit-sedikit dalam adunan diatas dan dipukul sebati.
4. Masukkan adunan mentega ke dalam adunan telur dan gaul hingga sebati. Boleh guna tangan atau guna mesin. Adunan telah sedia digunakan.

Menyukat Bahan-bahan



Peralatan menyukat bahan- penimbang digital, cawan dan sudu
Sumber: Cikgu Noraini

Ada pelbagai cara menyukat bahan-bahan. Ibu-ibu kita dahulu menyukat bahan dengan gelas, cawan, mangkuk, sudu makan dan ada juga yang main agak-agak saja atau cukup basah. Apabila buat kuih atau kek sekejap jadi dan sekejap tak jadi. Maklumlah, alat penyukatnya berubah-ubah, hari ni pakai cawan, esok lusa pakai mangkuk pula. Dengan kemudahan moden sekarang, pelbagai alat dicipta untuk memudahkan anda menimbang atau menyukat bahan-bahan. Ada penimbang digital, penimbang jarum (spring) atau pun cawan yang standard. Semuanya ada dijual di kedai bahan kek ataupun di pasaraya biasa. Di Malaysia, kita menggunakan timbangan metrik menggantikan timbangan paun (lb) dan aun (oz). Tetapi jika kita rajin melayari internet, kita boleh dapati resipi-resipi orang Amerika banyak yang menggunakan cawan (cup) dan paun. Memang bermasalah jika kita hendak mencuba resipi mereka kerana terpaksa menukarkannya kepada gram. Berikut adalah carta ringkas sukatan imperial dan juga metrik.

1 oz - 25 gm
9 oz - 250 gm
16oz (1 lb) - 450 gm
2 lb 4 oz - 1 kg
1 cawan mentega - 250 gm
1 cawan gula - 250 gm
1 cawan tepung - 125 gm
2 cawan tepung - 250 gm
1 camca kecil/teh - 5 gm

Tip Menyukat Bahan
1. Adalah lebih mudah dan tepat jika menggunakan penimbang digital. Saya menggunakan jenama Tanita dan telah digunakan selama lebih 5 tahun tanpa sebarang masalah. Memang berbaloi membelinya walaupun harganya agak mahal.

2. Apabila menyukat tepung, gemburkan atau ayakkan ia dahulu baru disukat atau ditimbang. Jika menyukat dengan cawan, jangan ditekan tepung itu kerana ia akan menjadi padat dan sukatannya telah berlebihan. Ratakan permukaannya dengan pisau. Ia tak sepatutnya disukat membumbung.

3. Sudu/camca kecil atau sudu/camca teh, sukatannya hampir sama tetapi sudu makan dan sudu besar ianya berlainan

.4. Cecair boleh disukat dengan gram atau dengan mililiter (ml). 100 gm air dengan 100 ml air adalah lebih kurang sama sukatannya.

Apa fungsi bahan penaik



Serbuk penaik, krim tartar dan soda bikarbonat

Terdapat 3 jenis bahan penaik yang selalu digunakan dalam pembuatan kek, pastri mahupun kuih-muih. Ianya ialah serbuk penaik (baking powder), serbuk soda (soda bikarbonate/sodium bikarbonate) dan serbuk tartar (cream of tartar). Ketiga-tiga bahan ini juga dikenali sebagai bahan penaik kimia atau chemical leaveners. Ia berbentuk serbuk putih dan boleh dibeli di pasaraya dan kedai-kedai bahan kek. Fungsinya adalah untuk menaikkan dan meringankan adunan kek/kuih agar lebih gebu.

Bahan penaik yang paling sering digunakan ialah serbuk penaik. Terdapat dua jenis serbuk penaik iaitu yang jenis biasa dan jenis berganda (double -action baking powder). Jenis biasa digunakan dalam kebanyakan kek manakala jenis berganda digunakan untuk kek kukus atau kuih-muih kukus seperti pau, apam dan sebagainya. Ia bertindak dua kali lebih kuat dari biasa dan menjadikan kek atau kuih lebih gebu dan mekar.

Soda bikarbonat pula sering digunakan dalam kebanyakan kek, biskut atau kuih yang berasid seperti menggunakan susu masam, jus buah-buahan, serbuk koko, gula hangus , puri buah-buahan dan lain-lain. Soda bikarbonat adalah bersifat alkali dan ia akan bertindak menutralkan asid yang terdapat dalam adunan kek dan kuih tersebut dan menaikkan kek/kuih apabila dimasak.

Serbuk krim tartar agak jarang digunakan tetapi ada juga resipi yang menggunakan soda dan krim tartar bersama. Krim tartar dihasilkan daripada asid tartarik dan tentunya ia bersifat asid. Biasanya serbuk ini dicampurkan dalam telur putih bagi membuat meringue. Ianya digunakan untuk membuat kek sifon atau membuat kek keju bakar.

Petua2 di dapur

1. Sayur kekal segar
Cuci sayur dengan air dan masukkan dalam beg plastik. Simpan dalam peti sejuk .Sayur tahan lebih semingu.

2. Ikan tetap segar
Siang ikan dan buangkan isi perut dan insang. Tak perlu dicuci. Bungkus dalam kertas suratkhabar lama dan masuk plastik. Simpan peti dinginbeku.

3. Hilangkan hanyir ikan
Setelah disiang, rendamkan ikan dalam air dicampur limau nipis atau limau kasturi selama 30 minit. Bau hanyir akan hilang.

4. Ikan atau ayam tak lekat di kuali
Untuk mengelakkan ikan atau ayam melekat di kuali, minyak hendaklah memenuhi ikan atau ayam. Minyak itu hendaklah dipanaskan terlebih dahulu sebelum masukkan ikan atau ayam. Renjis sedikit air, jika hilang bunyi berdesir, boleh masukkan ikan.

5. Khasiat air beras
Apabila membasuh beras jangan dibuang airnya kerana boleh membasuh ikan. Kemudian siramkan ke atas pokok bunga. Pokok akan tumbuh subur.

6. Elakkan periuk kenduri jadi hitam
Sebelum memasak pada majlis kenduri kendara, sapu minyak masak pada bahagian luar periuk itu. Ia akan mudah dicuci.

7. Buang tulang ikan terubuk atau ikan parang
Untuk mengelakkan tulang, pegang bahagian ekor dan kepala ikan.Tarik arah bertentangan sehingga bunyi berderap. Cara ini memudahkan kita memakan isinya.

8. Bawang kopek tahan lama
Untuk memudahkan kerja memasak, bawang boleh dikopek awal tetapi jangan dibasuh. Simpan dalam bekas plastik dan masuk petisejuk.

9. Memudahkan telur dikopek
Telur hendaklah cukup direbus iaitu sekurang-kurangnya 30minit. Kemudian rendamkan dalam air paip sehingga sejuk. Kopeklah seperti biasa.

10. Tulang dan daging cepat empuk
Rebuskan bersama daun nangka muda atau pun rebuskan bersama sebatang sudu atau garfu. Daging akan cepat empuk.

11. Membasuh buah-buahan
Untuk menghilangkan kesan bahan kimia pada kulit buah-buahan seperti epal atau pir, basuh buah itu dengan air garam dan bilas dengan air biasa.

12. Air gula tahan lama
Supaya air gula tahan lama masukkan 1 sudu besar air limau nipis semasa kita memasak air gula. Setelah mendidih, rendidih selama 20 minit dan sejukkan.

13. Pisau tak berkarat
Setelah menggunakan pisau, basuh dengan air bersih dan lapkan kering. Kemudian barulah disimpan.

14. Kacang cepat kembang
Untuk merebus kacang hijau atau kacang dal memakan masa. Rendam kacang itu dengan air selama 3 jam sebelum direbus. Ia akan cepat kembang.

15. Elakkan getah nangka
Sapukan pisau dengan minyak masak sebelum membelah nangka.Tangan juga boleh disapu minyak jika terkena getah nangka. Gosok dengan kain buruk dan cuci bersih.

16. Bersihkan pengisar
Untuk menghilangkan bau pengisar selepas mengisar cili atau bawang, kisar sedikit hampas kelapa dengan sedikit air untuk menghilangkan bau dan daki.

17. Santan lebih pekat
Untuk mendapatkan santan lebih pekat, kisar kelapa parut dengan sedikit air hingga kelapa hancur. Perah seperti biasa.

18. Kelapa parut tahan lama
Agar kelapa parut anda tahan lama, simpan dalam peti beku. Ia tahan 1 - 2 minggu.

19.Kelapa parut beku
Untuk melembutkan kelapa parut yang beku, keluarkan ia 2 jam sebelum digunakan agar ia lembut. Tuangkan sedikit air panas dan kisarlah seperti biasa.

Tips membuat Kek

TIPS MEMBUAT KEK
Sumber: Diana

1) Bila sudah mendapat resipi yang ingin dicuba, baca dan fahamkan bahan-bahan yang ada dalam resipi dan juga peraturannya. Jika ada bahan atau peraturan yang tidak faham, bertanya pada yang arif.

2) Buat nota sendiri dalam resipi tersebut. Sewaktu hendak mula membuat Kek tersebut, keluarkan cawan sukatan, timbang, pemukul telur, mixer atau bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kek tersebut. Dan juga sediakan bahan-bahan yang hendak digunakan. Ini untuk memudahkan anda menyukat dan juga supaya tidak lupa/ tertinggal bahan sewaktu mula mengadun kek.

3) Bahan-bahan kering seperti tepung gandum, baking powder, baking soda, garam hendaklah diayak bersama. Kek akan lebih gebu dan ringan bila menggunakan tepung yang telah diayak dan juga sewaktu mengayak tepung bersama baking powder/ baking soda ia dapat menghasilkan tepung yang serata dengan baking powder dan baking soda berbanding dengan kita menggaulkan begitu dengan tangan.

4) Ikut peraturan resipi satu persatu, dan sewaktu masukkan tepung sebaiknya menggunakan spatula dan kaup balikkan adunan dengan satu arah pusingan sehingga sebati. Jangan terlalu menggaul adunan tepung kerana ia akan menghasilkan kek yang agak mampat dan tidak gebu, cukup sekadar tepung sebati dengan adunan mentega.

5) Loyang perlulah dilenser dan disalutkan tepung supaya kek lebih mudah dikeluarkan selepas membakar. Dan ketuhar harus dipanaskan terlebih dahulu. Jika ketuhar anda adalah jenis yang cepat panas, turunkan suhu sedikit dari suhu apa yang tertera diresipi (contoh resipi suruh bakar 180 darjah C, gunakan 160 atau 170 darjah C), ini untuk menggelakkan kek merekah kerana suhu yang tinggi akan menyebabkan kek merekah.

6) Bila menggunakan lidi untuk mengguji jika kek telah masak. Cucuk dan lihat jika masih ada cebisan kek yang melekat di kek bermakna ia masih belum masak, bakar sehingga lidi penguji bersih dan itu tandanya kek telah pun masak.

7) Bila kek sudah masak keluarkan dari oven dan biarkan ia sejuk seketika sebelum dikeluarkan dari loyang.

8) Jika kek itu perlu dikukus, panaskan air kukusan terlebih dahulu dan sebaiknya balut tutup kukusan dengan kain bersih supaya wap tidak akan menitis diatas kek. Atau juga boleh tutup loyang kek dengan aluminium foil.

9) Kek yang dibakar atau dikukus sebaik-baiknya jangan dibuka pintu oven atau tutup kukusan pada 45 minit pertama ia dibakar atau dikukus. Ini supaya anda dapat menghasilkan kek yang lembut dan gebu.

Tips membuat Kek Lapis

TIPS MEMBUAT KEK LAPIS
Sumber: Diana

1. Mulakan dengan Bismillah dan Selawat Nabi dan bila kek telah berjaya dihasilkan ucapkan Alhamdullilah. Yakin yang anda boleh membuatnya dan InsyaAllah akan berjaya.

2. Jangan terlalu digaul adunan tepung kerana ini akan membuat adunan tepung mendap dan tidak kembang.

3. Pandailah mengawal api kerana kek lapis cepat masak, sekiranya ditinggalkan kesian hangus kek itu tidak cantik jadinya.

4. Perlukan kesabaran bila membuat kek lapis, gagal sekali tidak bererti gagal selamanya. Kalau gagal cuba lagi.

5. Jangan sapu terlalu banyak mentega diantara satu lapis dan lapis yang lain ini membuat kek lembab dan benyek. Cukup hanya sapu sekadar untuk kek tidak terlalu kering.

6. Ikut peraturan di resipi dan timbang bahan-bahan dengan teliti.

7. Pukul adunan telur dan gula sehingga betul-betul kembang. Nak tahu macam mana dia kembang, angkat adunan dan ia tidak mudah jatuh, kalau masih cair dan jatuh pukul lagi sehingga kembang. Ini paling penting, kalau adunan cair kek akan jadi tidak lawa dan juga kurang sedap.

8. Gunakan daya imaginasi dan kreativiti bila membuat kek lapis yang banyak bentuk dan warna. Bila kita sabar dan menggunakan daya creativiti insyallah kek akan menjadi lawa dan sedap dimakan.

9. Selesai membakar, biarkan kek betul-betul sejuk dalam loyang sebelum mengeluarkannya untuk dihidang.