TIPS MEMBUAT KEK
Sumber: Diana
1) Bila sudah mendapat resipi yang ingin dicuba, baca dan fahamkan bahan-bahan yang ada dalam resipi dan juga peraturannya. Jika ada bahan atau peraturan yang tidak faham, bertanya pada yang arif.
2) Buat nota sendiri dalam resipi tersebut. Sewaktu hendak mula membuat Kek tersebut, keluarkan cawan sukatan, timbang, pemukul telur, mixer atau bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kek tersebut. Dan juga sediakan bahan-bahan yang hendak digunakan. Ini untuk memudahkan anda menyukat dan juga supaya tidak lupa/ tertinggal bahan sewaktu mula mengadun kek.
3) Bahan-bahan kering seperti tepung gandum, baking powder, baking soda, garam hendaklah diayak bersama. Kek akan lebih gebu dan ringan bila menggunakan tepung yang telah diayak dan juga sewaktu mengayak tepung bersama baking powder/ baking soda ia dapat menghasilkan tepung yang serata dengan baking powder dan baking soda berbanding dengan kita menggaulkan begitu dengan tangan.
4) Ikut peraturan resipi satu persatu, dan sewaktu masukkan tepung sebaiknya menggunakan spatula dan kaup balikkan adunan dengan satu arah pusingan sehingga sebati. Jangan terlalu menggaul adunan tepung kerana ia akan menghasilkan kek yang agak mampat dan tidak gebu, cukup sekadar tepung sebati dengan adunan mentega.
5) Loyang perlulah dilenser dan disalutkan tepung supaya kek lebih mudah dikeluarkan selepas membakar. Dan ketuhar harus dipanaskan terlebih dahulu. Jika ketuhar anda adalah jenis yang cepat panas, turunkan suhu sedikit dari suhu apa yang tertera diresipi (contoh resipi suruh bakar 180 darjah C, gunakan 160 atau 170 darjah C), ini untuk menggelakkan kek merekah kerana suhu yang tinggi akan menyebabkan kek merekah.
6) Bila menggunakan lidi untuk mengguji jika kek telah masak. Cucuk dan lihat jika masih ada cebisan kek yang melekat di kek bermakna ia masih belum masak, bakar sehingga lidi penguji bersih dan itu tandanya kek telah pun masak.
7) Bila kek sudah masak keluarkan dari oven dan biarkan ia sejuk seketika sebelum dikeluarkan dari loyang.
8) Jika kek itu perlu dikukus, panaskan air kukusan terlebih dahulu dan sebaiknya balut tutup kukusan dengan kain bersih supaya wap tidak akan menitis diatas kek. Atau juga boleh tutup loyang kek dengan aluminium foil.
9) Kek yang dibakar atau dikukus sebaik-baiknya jangan dibuka pintu oven atau tutup kukusan pada 45 minit pertama ia dibakar atau dikukus. Ini supaya anda dapat menghasilkan kek yang lembut dan gebu.