Monday, November 10, 2008

Panduan mudah buat kek

Untuk membuat kek atau pastri, anda harus memastikan timbangan yang tepat, cara mengacau adunan yang betul dan masa membakar yang harus diikuti untuk mendapat produk yang baik.

Teori membuat kek:


1. Beli tepung kek ataupun tepung rendah gluten. Menggunakan tepung yang tidak sesuai akan menghasilkan kek yang berat dan "berpasir".

2. Gunakan telur saiz besar yang digredkan sebagai A ataupun AA.

3. Gunakan gula kastor ataupun gula halus dalam semua jenis resipi kek ataupun pastri supaya masa yang diperlukan untuk membancuh adunan boleh dipercepatkan. Ini juga mengelakkan daripada terjadinya gluten semasa membancuh.

4. Mentega yang digunakan haruslah mentega yang mengandungi garam. Ini akan menambahkan keenakan kek. Jika menggunakan majerin, bahan ini pada asasnya sudah mengandungi garam.

5. Untuk membakar kek jenis ringan saperti kek span dan kek chiffon, gunakan suhu 180 hingga 200 darjah Celsius dan masa membakar antara 20 hingga 30 minit. Untuk memastikan kek betul-betul masak sebelum dikeluarkan dari ketuhar, tekan dengan jari di bahagian tengah kek. Jika teksturnya menganjal, ertinya kek itu sudah masak. Keluarkan dari ketuhar dan terbalikkan acuan kek diatas redai kuih tanpa mengeluarkan kek sehingga ia sejuk.

6. Untuk membakar kek jenis berat seperti kek buah dan kek butter, mulakan dengan suhu 180 darjah Celsius kemudian turunkan kepada 150 atau 160 darjah Celsius setelah kek berada dalam ketuhar selama 15 hingga 20 minit. Untuk memastikan kek itu masak, cucuk dengan lidi dibahagian tengah kek dan lidi itu harus kelihatan licin apabila ditarik keluar. Jika masih ada adunan melekat di lidi, biarkan kek dalam ketuhar untuk beberapa minit lagi.

Tips dari Cef Rizal Alkhatib (Berita Minggu)